Wednesday, June 17, 2009

Selsema Babi :Kes Tempatan Pertama

M'sia rekod kes tempatan pertama H1N1
Jun 17, 09 4:00pm
Jangkitan selesema A (H1N1) semakin serius di negara ini, susulan berlakunya penularan wabak tersebut di peringkat tempatan yang pertama pada pesakit ke-19 daripada 23 kes, sejak sebulan lalu.

Pesakit berkenaan, seorang pelajar perempuan 17 tahun, dijangkiti daripada pesakit ke-12 akibat kegagalan kuarantin apabila tidak memaklumkan pernah berhubung dengan pelajar perubatan kes terdahulu.

Akibatnya, menurut satu kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini, kegagalan itu menyebabkan 20 orang lagi berkemungkinan terdedah kepada jangkitan H1N1.

Kementerian juga memaklumkan bahawa lima lagi kes influenza itu dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

"Salah satu dari kes yang disahkan positif Influenza A(H1N1) adalah kes penularan tempatan yang pertama berlaku di negara ini," kata Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

"Kes pertama penularan tempatan (kes ke-19) adalah seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun, warganegara Malaysia yang tidak mempunyai sejarah melawat negara (asing) yang telah diisytiharkan berlaku wabak Influenza A(H1N1).

"Beliau telah mula menunjukkan simptom batuk dan selesema pada 14 Jun 2009 jam 9 malam, dan mula demam pada keesokan harinya. Pada pagi 15 Jun 2009, kes telah pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaya seterusnya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh jam 10.00 pagi.

"Semasa penyiasatan, kes ke-19 melaporkan bahawa beliau adalah kontak kepada kes ke-12 iaitu pelajar perubatan yang telah disahkan positif Influenza A(H1N1) pada 13 Jun 2009.

"Namun sebelum ini beliau tidak pernah diisytiharkan sebagai salah seorang kontak kepada kes ke-12.

"Ini menyebabkan pengawasan dan kuarantin awal ke atas kes ke-19 ini gagal dilakukan dan menyebabkan 20 orang lagi (kontak) terdedah kepada jangkitan influenza A(H1N1)."

No comments:

Post a Comment